Tuesday, September 17, 2013

Haram Lalu Dihadapan Orang Solat

Rasullulah saw melarang sesiapa pun berjalan di hadapan seorang yang sedang solat, dalam batas sutrahnya (hadangnya). Perbuatan itu dianggap haram dan berdosa besar. 

Hadis Riwayat Ibnu Majah , Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Abu Hurairah menyatakan : 
Rasullulah saw bersabda: "Jika seseorang itu tahu apa yang akan menimpanya (dosa) kerana lalu di hadapan seorang saudaranya yang sedang bermunajat dengan Allah , nescaya berhenti 100 tahun lebih baik daripada melangkah di hadapan orang yang sedang solat."


Kata Ibnu Hibban dan beberapa ulama bahawa yang dimaksudkan dalam hadis tadi ialah bila orang yang solat itu meletakkan sutrah atau tanda sempadan di hadapannya ketika dia solat di tempat lapang. 

Maka dilarang keras berjalan di hadapan seorang musalli ialah berjalan di hadapannya di dalam kawasan surahnya atau sujudnya. 

Berhubung dengan larangan ini sebuah Hadis Riwayat Bukhari,Muslim dari Abi Said al Khudri menjelaskan :
"Apabila seorang kamu bersolat dengan mengadakan sutrah (hadangan) di hadapanmu, jika ada orang hendak lalu dihadapanmu hendaklah ditolak dadanya. Jika dia enggan berhenti hendaklah dibunuh (dengan menggunakan kekerasan) kerana orang itu adalah syaitan." 

Para ulama fiqh seperti Asy-Syafii,Malik dan Hanafi yang mencontohi para sahabat berkata, menolak orang yang hendak lalu di hadapan musalli tidak membatalkan solat walaupun berulang kali. 

Yang dimaksudkan dengan sutrah di hadapan seorang musalli ialah apabila solat dilakukan di tanah lapang. 

Jika seseorang itu solat di dalam masjid tidaklah diperlukan sutrah. Maka batas sutrah dalam solatnya ialah kawasan sujudnya. Jika ada orang lalu di dalam kawasan sujudnya dia hendaklah menghalang orang itu dengan tangannya. Dan jika orang itu enggan berhenti hendaklah ditolak dengan keras, kerana orang itu mungkin syaitan berupa manusia. 

Sutrah yang dimaksudkan dalam Hadis tadi adalah sebarang benda yang boleh menjadi tanda kawasan sujud seorang musalli. Tanda itu boleh berupa batu, batang kayu,bantal ataupun binatang tunggangan. 

Imam Ahmad, Abu Daud,An-Nasaa'i dan Ibnu Majah meriwayatkan hadis dari Ibnu Umar: 
"Adalah Nabi saw apabila berada di tanah lapang pada hari Id,baginda menyuruh orang membawa tongkat. Tongkat itu dipacakkan di hadapan Nabi saw , lalu Nabi saw pun solat dan para sahabat solat dibelakangnya. Nabi saw berbuat demikian dalam safar , kemudian dicontohi oleh para sahabat." 

Dalam hadis lain dari Ibnu Umar juga , katanya : 
"Adalah Nabi saw meletakkan kenderaannya di hadapannya dan solat menghadapinya." 

Dalam riwayat lain dari Al Miqdad Ibnu Aswad dinyatakan bahawa Nabi saw meletakkan kayu atau galah dihadapannya , di kiri sedikit atau kanan sedikit ketika solat dan tidak tepat di hadapannya. 

Petikan : 

Buku "Solat Rasullulah" 
Mustaffa Suhaimi
Halaman 88-91

2 comments:

  1. terima kasih di atas perkongsian ini, sungguh bermanfaat buat semua... ^_^ thanks dear...

    ReplyDelete

Komen anda amatlah dihargai..anda pasti comel jika memberi komen walaupun sekali
(^_^)